PENGUNJUNG SETIA

28 April 2008

180 NELAYAN DITAWAR SKIM PERUMAHAN MAMPU MILIK

180 nelayan ditawar skim perumahan mampu milik

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


HAMIM Samuri (tiga dari kiri) menunjukkan pelan skim perumahan mampu milik kepada penduduk Kampung Kesang Laut dan Kampung Parit Karang di Muar, baru-baru ini.



MUAR 25 April - Penantian 180 keluarga nelayan di Kesang Laut untuk menduduki rumah sendiri bakal tercapai tidak lama lagi apabila kerajaan negeri menawarkan pelbagai skim perumahan mampu milik kepada mereka menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Kesemua 180 nelayan yang tinggal di Kampung Kesang Laut dan Kampung Parit Karang itu dijanjikan oleh SPNB untuk membeli rumah berharga antara RM35,000 sehingga RM161,000.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, sebanyak 282 unit rumah serta rumah kedai akan dibina di Kesang Laut melalui skim perumahan mampu milik berkenaan.

"Bagi mereka yang berpendapatan rendah, SPNB menawarkan rumah teres setingkat pada harga RM35,000 dan bagi mereka yang mampu pula, syarikat itu turut menyediakan rumah teres dua tingkat bernilai RM161,141.

"Selain itu, bagi mereka yang berpendapatan sederhana, pakej perumahan yang ditawarkan adalah pada harga RM50,000 dan RM80,000 seunit," katanya ketika melawat Kampung Kesang Laut di sini baru-baru ini.

Hamim memberitahu, SPNB pada masa yang sama turut menyediakan enam unit bangunan rumah kedai dua tingkat yang akan dijual dengan harga RM240,406 seunit dan keutamaan akan diberikan kepada penduduk kawasan tersebut.

Menurutnya, skim perumahan mampu milik itu dilaksanakan untuk memberi keselesaan kepada golongan nelayan di kawasan itu yang selama ini tinggal secara bertaburan di perkampungan tersebut.

Tambahnya, skim itu dibuka kepada semua kaum dan SPNB telah melantik Bank Islam untuk menjalankan urusan pinjaman, manakala proses perundangan akan dilakukan sebuah syarikat peguam, Khairin Nissa Salleh.

Hamim berkata, maklumat lanjut mengenai skim perumahan mampu milik itu boleh diperoleh dengan menghubungi pejabat SPNB di Menara Tabung Haji, Jalan Ayer Molek, Johor Bahru di 07-2259900.

Kerajaan negeri berharap dengan adanya skim perumahan itu taraf hidup golongan nelayan di kedua-dua kampung itu dapat ditingkatkan," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Johor, 26 April 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: