PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

57 JAWATAN JTK JOHOR PERLU DIISI

57 jawatan JTK Johor perlu diisi

JOHOR BAHRU 27 Mac - Kerajaan Johor akan meminta Kementerian Sumber Manusia agar mengisi segera 57 pelbagai jawatan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan berkata, langkah itu perlu bagi meningkatkan lagi mutu pentadbiran dan perkhidmatannya kepada rakyat.

Menurutnya, kekurangan pegawai dan kakitangan akan hanya mengganggu kelancaran pentadbiran, sekali gus menyukarkan jabatan berkenaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama golongan pencari kerja.

''Saya akan menemui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam untuk meminta agar mengisi segera kekosongan tersebut,'' katanya selepas mendengar taklimat Timbalan Pengarah JTK Johor, Mohd. Sazali Abdul Wahab di pejabatnya di Bukit Timbalan di sini hari ini.

Asojan berkata, kekosongan jawatan itu meliputi pelbagai kategori daripada kerani hingga ke peringkat penolong pengarah membabitkan lima cawangannya di Johor.

''Jabatan itu sepatutnya mempunyai 164 kakitangan tetapi kini hanya mempunyai 107 orang sahaja,'' katanya.

Beliau berkata, JTK Johor juga telah diarah mengemas kini data pencari kerja bagi memudahkan majikan untuk mendapatkan pekerja dalam bidang yang diperlukan.

Menurutnya, ketiadaan data terkini yang lebih lengkap mengenai pencari kerja menyukarkan majikan menghubungi dan seterusnya menawarkan pekerjaan kepada mereka.

''JTK Johor juga telah diminta mewujudkan laman web sendiri bagi membolehkan majikan mendapatkan maklumat segera apabila memerlukan tenaga kerja,'' katanya.

Sementara itu, beliau berkata, jabatan tersebut akan mengadakan Karnival Pekerjaan di Plaza Angsana di sini mulai 12 hingga 13 April ini untuk memberi peluang pencari kerja mencari kerja di pelbagai sektor di negeri ini.

''Karnival seumpama itu juga akan diperluaskan di setiap daerah tidak lama lagi,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: