PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

DAERAH LEDANG MEMBANGUN

Daerah Ledang membangun

MUAR 2 Mac - Usaha kerajaan menaik taraf Tangkak menjadi sebuah daerah yang dikenali sebagai Daerah Ledang akan membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan ke kawasan berkenaan.

Calon BN yang mempertahankan kerusi Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri (gambar)

berkata, langkah itu bukan sahaja disambut baik oleh penduduk, malah membuktikan kawasan tersebut semakin maju di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Meskipun majlis pengisytiharan naik taraf daerah Ledang yang mempunyai 58,501 penduduk itu belum dilaksanakan, namun kini ia sudah mempunyai pejabat daerah sendiri dan proses naik taraf ini akan dilakukan sepenuhnya selepas pilihan raya umum nanti.

"Peluang BN untuk mengekalkan kerusi di Parlimen ini juga amat cerah. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom telah banyak memajukan daerah Ledang,'' katanya ketika ditemui di Tangkak, dekat sini hari ini.

Hamim yang memenangi kerusi Parlimen Ledang menewaskan calon Pas, Kasim Ibrahim pada pilihan raya umum tahun 2004 dengan majoriti 21,671 undi, kali ini ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lau Tek Hai.

Selain Abdul Ghani yang mempertahankan kerusi DUN Serom, Parlimen Ledang turut menampilkan M. Asojan di DUN Gambir, manakala calon kerusi DUN Tangkak adalah muka baru iaitu Goh Tee Tee.

Menurut Hamim, taktik pembangkang menggunakan isu kenaikan harga barang dan minyak bagi meraih sokongan pengundi jelas menunjukkan mereka ketandusan idea kerana tiada lagi isu lain yang boleh diketengahkan.

"Kerajaan BN telah menjelaskan kenapa harga barang terpaksa dinaikkan berikutan peningkatan harga minyak sedunia, tetapi pembangkang masih mengemukakan hujah yang sama,'' katanya.

Beliau berkata, pengundi di Tangkak sedar bahawa kemajuan yang mereka nikmati ketika ini dan sejak 50 tahun tidak perlu dikorbankan melalui undi eksperimen kepada pembangkang untuk memerintah.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: