PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

HAMDAN BERSARA SELEPAS 33 TAHUN JADI GURU

Hamdan bersara selepas 33 tahun jadi guru


Hamdan Seren sedang bersalaman dengan murid-murid SK Simpang Lima Darat pada majlis persaraannya, baru-baru ini.

MUAR 12 April - Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Lima Darat, Hamdan Seren, 56, bersara baru-baru ini selepas 33 tahun menjadi guru.

Hamdan mengakui bukan mudah untuk meninggalkan kerjaya yang diceburi sejak sekian lama, bagaimanapun beliau lega dan gembira kerana berjaya melaksanakan tugasnya.

"Saya rasa lega dan gembira kerana telah menunaikan amanah dan tanggungjawab besar selaku seorang pendidik sejak sekian lama," katanya ketika ditemui pada majlis persaraannya, baru-baru ini.

Majlis persaraan Hamdan itu turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah itu, Mohd. Noh Abdul Montalib serta lebih 30 kakitangan dan guru serta 800 pelajar sekolah terbabit.

Beliau yang dilahirkan pada 3 April 1952 mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Jamaliah Sulaiman dan dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Hamdan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru dan sekolah pertama beliau ditempatkan ialah SK Mat Daling, Ulu Tembeling di Pahang.

Beliau kemudian mengajar di enam buah sekolah lain iaitu SK Jerantut, Pahang; SK Bukit Gambir; SK Palong Timur, Segamat, SK Sengkang, Bukit Gambir, SK Bakri Batu 2 dan SK Serom 8 sebelum berkhidmat di SK Simpang Lima Darat sehingga bersara.

Beliau bersyukur kerana sistem pengurusan yang dilaksanakan bersama warga pendidik yang lain menghasilkan keputusan terbaik dengan peningkatan jumlah murid sekolah tersebut mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu.

"Saya akan terus berkhidmat kepada masyarakat dan sekolah ini sekiranya masih diperlukan.

"Bagi saya, persaraan merupakan fasa baru dalam kehidupan saya tetapi perwatakan sebagai guru tentunya akan kekal selama-lamanya," katanya.

Sumber: Mingguan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: