PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

IBU BAPA ELAK ANAK SERTAI DEMONSTRASI

Ibu bapa elak anak sertai demonstrasi
 

MUAR: Ibu bapa luar bandar dinasihatkan supaya mengingatkan anak mereka terutama yang tinggal di kota besar, terutama di ibu negara supaya tidak terjebak dengan demonstrasi jalanan yang dianjurkan pihak tertentu.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata tindakan itu penting bagi mengelak generasi muda luar bandar termasuk mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi di ibu negara terbabit dengan gejala kurang sihat itu.

Beliau berkata, pihak tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi kini giat mempengaruhi golongan muda supaya menyertai demonstrasi jalanan yang kononnya untuk menyelesaikan masalah dalam pentadbiran negara dan kerajaan.

Sebaliknya, katanya, demonstrasi yang tidak mendapat permit dan kelulusan pihak berkuasa itu menimbulkan lebih banyak masalah, termasuk menjejaskan ekonomi negara terutama dalam bidang perniagaan dan pelancongan.

"Lebih malang lagi sekiranya ada antara mereka termasuk pelajar yang menyertai kegiatan itu dikenakan tindakan undang-undang kerana melanggar peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, sekali gus menimbulkan masalah kepada ibu bapa.

"Berikutan itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan tiada anak mereka sama ada yang bertugas atau melanjutkan pelajaran di pusat pengajian di ibu negara supaya tidak terbabit dengan kegiatan tidak berfaedah itu," katanya ketika merasmikan Program Mesra Gerakan Daya Wawasan (GDW) 2007 di Parit Haji Idris, Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama GDW, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kemas Parlimen Ledang dan Pergerakan Pemuda Umno cawangan itu diadakan di pekarangan balai raya kampung berkenaan.

Hadir sama, Penyelaras GDW Parlimen Ledang, Haliza Zabir, Pengerusi GDW yang juga Pengerusi JKKK, Ismail Sitam dan Ketua Pemuda Cawangan, Ramli Abdul Rahman.

Hamim yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Ledang turut mengingatkan penduduk berbilang kaum supaya mengekalkan suasana keharmonian hidup yang menjadi teras perpaduan dan ketenteraman negara sejak merdeka hingga sekarang.

Beliau berkata, perpaduan di kalangan masyarakat akar umbi membolehkan kerajaan melaksanakan lebih pembangunan untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka pada masa depan.

Sumber: Berita Harian, 1 Januari 2008 (www.bharian.com.my)

Tiada ulasan: