PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

KONTRAKTOR PERLU JUJUR LAKSANA KERJA

Kontraktor perlu jujur laksana kerja

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


HAMIM Samuri (duduk tengah) bergambar bersama sebahagian daripada jawatankuasa dan ahli Persatuan Kontraktor Kawasan Ledang selepas melancarkan persatuan itu di Bukit Gambir, Muar, kelmarin.


MUAR 10 April – Semua ahli persatuan digesa supaya memanfaatkan organisasi itu dengan melaksanakan kerja-kerja pembangunan secara jujur, ikhlas dan memenuhi permintaan pelanggan.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, semua kontraktor itu bukan sahaja perlu menjalinkan hubungan dan kerjasama yang harmoni, malah perlu menjaga imej serta nama baik persatuan.

Beliau berkata, setiap ahli perlu memahami peranan mereka dan menyedari pentingnya sesebuah persatuan untuk membela nasib dan kepentingan ahli-ahlinya.

“Setiap ahli perlu saling ingat mengingati antara satu sama lain supaya persatuan ini sentiasa berada pada landasan yang betul.

“Untuk memastikan persatuan terus kukuh, kepercayaan antara setiap ahli dan sikap jujur serta ikhlas perlu ada dalam diri bagi memastikan setiap tanggungjawab yang diamanahkan itu dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Persatuan Kontraktor Kawasan Ledang di Dewan Serbaguna Bukit Gambir dekat sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Johor, Ir. Mahmud Amir dan Pengerusi Persatuan Kontraktor Kawasan Ledang, Zahidin Ahmad.

Lebih 200 kontraktor Melayu di kawasan Ledang menjadi ahli persatuan tersebut yang melibatkan kontraktor kelas A hingga F.

Menurut Hamim, ahli persatuan itu juga digesa supaya tidak sesekali mengamalkan sikap dengki dan iri hati terhadap rakan-rakan yang mendapat projek sebaliknya terus bersabar dan menunggu giliran masing-masing.

Katanya, sikap iri hati hanya akan memusnahkan sesebuah persatuan kerana ia akan mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan ahli khususnya dalam soal pembahagian projek.

“Apa yang penting untuk sesebuah persatuan ialah mereka perlu bersatu dan bersama-sama dalam merangka strategi mendapatkan peluang yang lebih baik dan sama rata untuk semua ahli,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: