PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

PENDUDUK DUN GAMBIR DAPAT TIGA LAMPU ISYARAT

Penduduk DUN Gambir dapat tiga lampu isyarat

MUAR 13 Feb. - Hampir 30,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dekat sini, bakal menerima kemudahan apabila kerajaan meluluskan pembinaan tiga batang lampu isyarat di persimpangan utama di pekan itu.

Malahan, ketika ini, satu daripada tiga lampu isyarat itu sudah mula beroperasi sejak pertengahan Disember lalu, iaitu di persimpangan Jalan Bukit Gambir ke Sengkang.

Dua lagi lampu isyarat yang menelan belanja sebanyak RM1 juta sudah diluluskan peruntukannya oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu kelmarin, dan projek pelaksanaannya akan dijalankan segera.

Pembinaan dua batang lampu isyarat itu akan dilaksanakan di hadapan Bank CIMB dan di hadapan Perhentian Teksi Bukit Gambir yang kedua-duanya merupakan jalan utama di pekan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Gambir, M. Asojan berkata, beliau sendiri telah dimaklumkan oleh Samy Vellu bahawa arahan itu telah diberikan serta merta baru-baru ini, atas permintaan berterusan daripada penduduk kawasan itu.

"Permohonan untuk membina tiga buah lampu isyarat di Bukit Gambir itu sudah dikemukakan sejak Oktober lalu dan kelulusan yang diterima daripada Kementerian Kerja Raya ini pasti menggembirakan penduduk.

"Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa projek kemudahan tersebut bukannya disebabkan tarikh pilihan raya umum ke-12, sebaliknya ia sudah lama dibuat cuma kelulusannya baru diperoleh," katanya di sini hari ini.

Pekan Bukit Gambir yang mempunyai penduduk lebih 20,000 orang kini pesat membangun dan jalan utamanya yang semakin sibuk kini memerlukan persimpangan lampu isyarat.

Pembinaan lampu isyarat di persimpangan Bukit Gambir-Sengkang baru-baru ini, dilihat memudahkan penduduk yang keluar masuk dari arah Sengkang serta mereka yang ingin melalui Jalan Bukit Gambir-Kundang Ulu.

Menurut Asojan, pihaknya juga ingin memaklumkan kepada penduduk bahawa pembinaan dua lampu isyarat di hadapan CIMB dan hentian teksi itu memakan belanja yang lebih besar iaitu RM1 juta disebabkan kerja pelebaran jalan perlu dibuat.

"Disebabkan kedua-dua persimpangan itu ialah simpang empat, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa kosnya meningkat berbanding RM200,000 sebuah kerana kita terpaksa melebarkan jalan kepada empat lorong dan mewujudkan pembahagi jalan.

"Berikutan kerja-kerja pelebaran jalan itu juga, ia memakan masa yang lama untuk diluluskan kerana JKR perlu menyiapkan kerja-naik taraf jalan itu terlebih dulu sebelum membina lampu isyarat," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: