PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

RM10j NAIK TARAF SUNGAI, PARIT

RM10j naik taraf sungai, parit

Oleh suffian abu bakar


HAMIM Samuri (tengah) bersama Goh Tee Tee (kiri) dan Chong Chee Han meninjau keadaan sistem saliran di Sungai Kebun Sayur yang bakal dinaik taraf di Tangkak dekat Muar, semalam.


MUAR 15 April - Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan sungai sepanjang 27 kilometer di daerah Ledang dekat sini akan dilaksanakan seawal Ogos ini, demikian menurut Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM10 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk melaksanakan projek itu telah diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut yang dipohonnya sejak sepenggal lalu akan digunakan untuk menaik taraf sungai-sungai dan parit di kawasan itu bagi mengelak banjir kilat yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

"Peruntukan sebanyak RM10 juta itu akan digunakan untuk menaik taraf semula sungai dan perparitan di sepanjang Sungai Tangkak hingga ke Sungai Kesang bagi mengelak masalah banjir kilat di kawasan tersebut.

"Kerajaan berharap selepas projek naik taraf ini siap dilaksanakan pada tahun 2010, masalah banjir kilat ini tidak akan berlaku. Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada faktor taburan hujan serta pasang surut sungai utama di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor, Chong Chee Han di Dataran Ledang, Tangkak, dekat sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Goh Tee Tee dan Pegawai JPS daerah Muar, Rehan Ahmad.

Pertemuan tersebut diadakan berikutan kejadian banjir kilat yang sering berlaku di sekitar daerah Ledang, sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaru pada 8 April lalu, beberapa kawasan dilanda banjir kilat iaitu Kampung Payamas, Taman Lagenda, Taman Tangkak Jaya 3, Taman Payamas, Taman Bahagia.

Selain itu, turut dilanda banjir adalah Kampung Solok, Bukit Banjar, Anjung Batu dan Seri Makmoor.

Menurut Hamim, usaha menaik taraf sistem perparitan dan sungai itu melibatkan kerja-kerja mendalam serta melebarkan kawasan saliran itu supaya air mudah mengalir ke sungai utama dan seterusnya ke Selat Melaka.

Terdapat dua sungai utama yang bertemu dengan Sungai Tangkak iaitu Sungai Bukit Banjar dan Sungai Kebun Sayur di kawasan ini yang dijangka akan terlibat dalam kerja naik taraf tersebut.

"Saya sendiri pernah memohon agar peruntukan tersebut dimasukkan dalam RMK-9 dan bersyukur akhirnya ia diluluskan. Ketika ini, kontrak projek-projek naik taraf itu akan dibuka untuk tender penghujung bulan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Hamim serta Chee Han turut melawat beberapa lokasi tapak projek naik taraf yang akan dilaksanakan termasuk di Sungai Anjung Batu, Bukit Banjar dan Kebun Sayur.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: