PENGUNJUNG SETIA

19 April 2008

RM99.6 JUTA BANTU PELAJAR DI JOHOR



ABDUL Ghani Othman (tengah) menyampaikan bantuan kepada salah seorang murid sekolah Parlimen Ledang pada majlis penyerahan bantuan Kementerian Pelajaran Malaysia di Tangkak, dekat Muar, semalam.


Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 1 Feb. - Seramai 643,000 pelajar dari 1,127 buah sekolah menengah dan rendah di negeri ini akan menerima pelbagai bantuan daripada Kementerian Pelajaran berjumlah RM99.6 juta bagi meningkatkan mutu sistem pendidikan sepanjang tahun ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, jumlah peruntukan itu meningkat sebanyak RM19 juta, berbanding kira-kira RM80 juta yang diperoleh sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, peningkatan jumlah bantuan itu membuktikan kerajaan serius membantu meningkatkan mutu pendidikan di negara ini, khususnya bagi mengelakkan lebih ramai pelajar tercicir.

Menurutnya, antara bantuan yang diberikan itu termasuk wang tunai, Biasiswa Kecil Persekutuan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Skim Bantuan Tuisyen, Program Susu Sekolah, Rancangan Makanan Tambahan dan Skim Pinjaman Buku Teks.

"Walaupun kos hidup di seluruh negara ketika ini semakin meningkat, kerajaan tetap memberikan tumpuan terhadap usaha meningkatkan mutu pendidikan negara melalui bantuan-bantuan yang diberikan ini.

"Selain memansuhkan yuran sekolah mulai tahun ini, bantuan itu membuktikan keprihatinan kerajaan dan sewajarnya melalui bantuan itu masalah keciciran di kalangan pelajar kurang berkemampuan akan dapat diatasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan Kementerian Pelajaran kepada 51,170 pelajar sekolah rendah dan menengah bagi Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Tangkak dekat sini hari ini.

Majlis anjuran bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar dan Biro Pendidikan UMNO Bahagian Ledang itu turut dihadiri Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan Pengarah Pelajaran Johor, Mokhy Saidon.

Abdul Ghani berkata, bantuan yang diberikan itu seolah-olah semua pelajar di negara ini menerima kemudahan secara percuma tanpa mengira latar belakang keluarga masing-masing.

Justeru, alasan bahawa masih terdapat pelajar yang tidak dapat meneruskan pelajaran mereka disebabkan latar belakang keluarga yang susah, tidak lagi boleh diterima kerana segala bentuk bantuan sering diberikan oleh kerajaan.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan mereka sentiasa memberi dorongan agar anak-anak masing-masing tekun belajar,'' katanya.

Sumber:Utusan Malaysia Johor (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: