PENGUNJUNG SETIA

20 April 2008

YAKIN DAPAT SOKONGAN PENGUNDI MELAYU, CINA

Yakin dapat sokongan pengundi Melayu, Cina

MUAR 4 Mac - ''Pengundi kaum India di Gambir hanya empat peratus berbanding kaum Melayu sebanyak 55 peratus dan Cina 44 peratus tetapi saya tetap yakin penduduk akan menerima saya sebagai wakil rakyat mereka bagi meneruskan pembangunan di kawasan tersebut."

Demikian keyakinan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, M. Asojan, 42, yang mempertahankan kerusi yang dimenanginya bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan BN untuk terus bertanding di kerusi itu membuktikan beliau telah melaksanakan tugasnya selama sepenggal dengan berjaya untuk penduduk DUN Gambir.

"Saya tidak gentar untuk berdepan dengan calon lawan, malah saya berasa sudah serasi dengan semua penduduk di DUN Gambir ini dan untuk itu saya berkeyakinan penduduk akan membuat pilihan tepat pada pilihan raya umum kali ini.

"Rakyat di DUN ini sendiri tahu menilai sejauh mana perkhidmatan saya kepada mereka. Saya bukannya bekerja sepanjang musim pilihan raya ini sahaja, malah sejak saya mewakili di DUN ini empat tahun lalu," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Gambir, dekat sini hari ini.

Asojan yang merupakan anak kelahiran Melaka dipilih untuk mewakili BN menentang calon Pas, Kasim Ibrahim. Pada pilihan raya umum 2004, beliau menewaskan calon Pas, Aripin Dahlan dengan majoriti 6,109 undi.

Sejak Gambir dijadikan kawasan DUN baru ekoran persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 2004, banyak pembangunan telah dilaksanakan di kawasan tersebut.

Antaranya ialah pembinaan rumah-rumah kedai di pusat bandar, kilang-kilang dan yang terbaru kemudahan Pasar Tani Bukit Gambir yang sudah siap dibina bagi kemudahan lebih 30,000 penduduk di situ.

Asojan berkata, antara pembangunan yang akan dilaksanakan olehnya jika terus diberi kepercayaan memimpin kawasan itu ialah memastikan pertambahan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat menerusi kewujudan sektor perindustrian yang berkembang pesat.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: