PENGUNJUNG SETIA

31 Julai 2012

BUKTI KERAJAAN BAWA KEJAYAAN

LEDANG: Masyarakat Cina di negara ini diminta terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan perpaduan dan keamanan dinikmati sekarang berkekalan sekali gus menjamin masa depan mereka ke arah lebih baik.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, masyarakat Cina perlu memilih dan mengekalkan kerajaan sedia ada yang dapat menjaga masa depan semua kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, kejayaan kerajaan membawa pembangunan dan keamanan negara sejak 55 tahun lalu terbukti apabila semua kaum dapat menikmatinya termasuk dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, rakyat negara ini boleh menempa kejayaan dalam pelbagai bidang kerana kerajaan membuka seluas-luasnya peluang mendapatkan ilmu di peringkat awal persekolahan hingga ke institusi pengajian tinggi.

"Hanya pelajaran mampu menjadikan seseorang itu insan berjaya. Walaupun ibu bapa hanya bekerja kebun, tetapi anak-anak yang berjaya dalam pelajaran mampu mengubah kehidupan keluarga apabila mempunyai pekerjaan yang baik.

"Kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan untuk rakyat mendapatkan pendidikan dengan membina dan menaik taraf bangunan sekolah bagi memberi keselesaan pelajar mengikuti proses pembelajaran," katanya pada majlis perasmian Program Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) Bersama Komuniti Cina Serom di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Serom 3, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Pengerusi Lembaga Pengarah SJKC Chung Hwa, Tan Teng Hao.

Pada majlis itu, Abdul Ghani meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membina bangunan baru tiga tingkat menggantikan bangunan lama yang diperbuat daripada papan.

Sementara itu, Tan berkata, wujud kesedaran dalam kalangan kaum Cina mengenai pentingnya pendidikan dalam kehidupan dan dapat menjamin masa depan anak-anak.

Beliau berkata, pendidikan menjadi aset penting untuk anak-anak bagi menjalani kehidupan yang lebih baik apabila berjaya hingga ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, pengurusan sekolah berterima kasih kepada kerajaan terutama Menteri Besar yang meluluskan peruntukan bagi membina bangunan baru tiga tingkat membabitkan 15 kelas untuk kegunaan masyarakat Cina Serom.

SUMBER: HARIAN METRO 31 JULAI 2012

Tiada ulasan: