PENGUNJUNG SETIA

20 Julai 2012

JARINGAN EKONOMI

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


LEDANG: Pembinaan Plaza Tol Bukit Gambir di sini yang dijadualkan siap sepenuhnya Disember 2013 dilihat memudahkan pengguna setempat dan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) keluar masuk ke lebuh raya itu, selain menambah jaringan perhubungan penduduk.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM80 juta itu mempunyai laluan keluar dan masuk ke lebuh raya arah utara serta selatan, sekali gus memudahkan orang ramai ke daerah ini tanpa perlu menggunakan Plaza Tol Pagoh atau Plaza Tol Tangkak.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh berkata, Tol Bukit Gambir dibina demi keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya yang kini semakin bertambah.

"Apabila plaza tol ini siap, ia bukan saja dapat digunakan penduduk sekitar Bukit Gambir, malah melancarkan perjalanan pengguna Plus.

"Selain itu, laluan berkenaan mampu menjana ekonomi penduduk setempat," katanya pada Program Tanggungjawab Sosial dan Korporat LLM serta Syarikat Konsesi Lebuh Raya Bersama Penduduk Berpendapatan Rendah/Miskin kawasan Parlimen Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri.

Hamim berkata, keputusan membina Plaza Tol Bukit Gambir dibuat berikutan kedudukannya yang strategik selain kawasan itu rancak membangun.

Katanya, projek plaza tol yang mula dibina tahun lalu itu akan menjadi laluan alternatif kerana Plaza Tol Tangkak serta Plaza Tol Pagoh kini sesak terutama hujung minggu, cuti am dan musim perayaan.

Dengan pembinaan plaza tol baru itu, ribuan pengguna bakal mempunyai pilihan lain untuk ke Muar dan tidak perlu menggunakan plaza tol sebelum ini.

"Secara langsung, pembinaan plaza tol itu akan memberi manfaat dan merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

"Kami menjangkakan pekan Bukit Gambir bakal berubah wajah dengan adanya plaza tol berkenaan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 52 golongan miskin serta kurang bernasib baik seluruh Ledang dipilih menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan makanan.

Program tahunan sejak tiga tahun lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dan empat program sama akan diadakan dalam masa terdekat bagi memenuhi tanggungjawab sosial LLM.

SUMBER: HARIAN METRO, 20 JULAI 2012

Tiada ulasan: