PENGUNJUNG SETIA

23 Julai 2012

KEM AKTIF DIDIK BERJAYA BERI KESAN POSITIF KEPADA MURID

Oleh Nas Norziela Nasbah


Kem Aktif Didik 2012 melabuhkan tirainya untuk musim ini dengan penyertaan terakhir murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ledang Tangkak, Johor selepas menjelajah lapan buah sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia.

Program anjuran BH bersama penaja utama Milo UHT disertai kira-kira 200 pelajar tahun empat dan lima dari sekolah itu yang menyediakan aktiviti seperti bengkel kewartawanan. Bengkel setengah jam itu dikendalikan oleh Pengarang Berita Unit Pendidikan BH, Puan Fadzlena Jafar selain sesi soal jawab dan permainan ringkas iaitu rantaian bola.

Guru Besar Cemerlang, Puan Rosmizan Jamaluddin, berkata pihaknya mengalu-alukan aktiviti ilmiah seperti itu dalam usaha menggalakkan murid untuk terus bergiat aktif dalam sukan dan juga mengetahui satu lagi ilmu baru mengenai profesion kewartawanan.

Beliau berkata, melalui aktiviti sebegini murid akan lebih bersikap terbuka selain mengajak mereka untuk menggunakan peluang sebaik mungkin tidak kira dari segi akademik, kokurikulum atau menanam sikap gemar membaca setiap hari.

"Dengan adanya pendedahan daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan, saya pasti ia dapat membantu murid memperoleh ilmu baru seperti melalui ceramah yang disampaikan oleh Puan Fadzlena," katanya.

Kedatangan kru daripada penaja utama, Milo UHT dan pihak BH turut disambut oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Encik Khalid Husin, GPK Hal Ehwal Murid, Encik Ramdhan Ibrahim, GPK kurikulum, Encik Abd Malek Mohd Yunos dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Encik Khairulhizam Hassan.

Kem Aktif Didik terbaik

Melihat kepada aktiviti yang disediakan cukup meyakinkan pihak sekolah bahawa program ini memberi kesan positif kepada semua peserta yang menyertai Kem Aktif Didik kali ini. "Saya berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kerana percaya ia dapat membantu perkembangan murid tidak kira melalui ilmu pengetahuan atau kurikulum.

"Program ini juga menggalakkan murid untuk menggunakan akhbar BH sebagai bahan rujukan selain memupuk sikap minat membaca dalam kalangan murid SK Ledang," katanya.

Beliau berkata, BH dan Milo UHT yang bertindak sebagai penaja utama perlu diberi pujian atas usaha menganjurkan Kem Aktif Didik 2012 dalam usaha melahirkan generasi aktif dan cemerlang.

INFO

KEM AKTIF DIDIK 2012

* Penaja: Milo UHT

* Aktiviti:

- Ceramah mengenai kerjaya kewartawanan.

- Sukaneka berkumpulan.

SUMBER: BH 23 JULAI 2012

Tiada ulasan: