PENGUNJUNG SETIA

25 Julai 2012

TERAP AMALAN BERPANDU AGAMA

Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Lima bayi menyertai majlis bercukur pada program Pengamalan Modul Keluarga Sakinah anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) Daerah Ledang di Surau Al-Redha, Kampung Parit Jarum Darat, Bukit Gambir di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Surau Al-Redha dan Umno Cawangan Parit Jarum Darat itu dimulakan dengan perarakan peserta sambil selawat menuju ke surau berkenaan.

Majlis bercukur mengikut modul Keluarga Sakinah itu dilaksanakan Penggerak Keluarga Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohamad Amin Apah.

Mengikut modul itu, rambut bayi yang dicukur ditimbang dan dinilai dengan harga pasaran emas semasa sebelum wangnya disedekahkan kepada golongan miskin.

Pengerusi Surau Al-Redha, Saad Adnan berkata, selain mencukur rambut bayi, majlis akikah turut diadakan selain penyerahan taklif ibu bapa kepada 23 remaja yang sudah akil baligh.

"Melalui pendekatan mengikut modul Keluarga Sakinah, masyarakat Islam dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkaitan amalan yang betul berpandukan agama bukan mengikut adat yang dilakukan masyarakat terdahulu.

"Masyarakat kampung dapat memahami modul sebenar berkaitan kaedah mencukur rambut bayi di mana sebelum ini mereka mengamalkan adat potong jambul yang bercampur dengan budaya agama lain.

"Amalan mencukur rambut pada hari ketujuh selepas kelahiran sebagaimana terkandung dalam Modul Keluarga Sakinah mempunyai hikmah dari segi kesihatan dan kemasyarakatan," katanya.

Program itu dirasmikan Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan turut dihadiri Pegawai Tadbir YPKDT Ledang, Aisyah 'Izzaty Mohd Isnin serta Ketua Kampung Parit Haji Idris, Ismail Sitam.

Ab Han dalam ucapannya berkata, Modul Keluarga Sakinah banyak memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Modul itu cukup lengkap sebagai panduan umat Islam khasnya ibu bapa dalam membuat persediaan bermula daripada kelahiran bayi, alam kanak-kanak hinggalah ke alam remaja.

"Corak didikan yang betul berteraskan agama perlu diterapkan terhadap anak sejak awal lagi dan Modul Keluarga Sakinah mampu mendidik mereka menjadi generasi pelapis yang berilmu," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 25 JULAI 2012

Tiada ulasan: