Koperasi tingkat ekonomi ahli
Kopmaju kini mempunyai bangunan sendiri di Jalan Bakawali, Bakri, di sini.
 
MUAR - Jumlah saham terkumpul Koperasi Kecil Daerah Muar Berhad (Kopmaju) sehingga akhir tahun lalu merekodkan RM1.93 juta hasil menerusi 14 jenis perniagaan yang dijalankannya sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengerusi Kopmaju, Md Jemary Sulaiman berkata, koperasi tersebut menjalankan perniagaan dan perusahaan bagi meningkatkan ekonomi ahli serta juga melibatkan kelapa sawit, getah dan pengangkutan.

“Perniagaan dan perusahaan Kopmaju juga termasuk tapak semaian, pemasaran kayu getah dan jualan input pertanian. Pada tahun lalu Kopmaju mencatatkan keuntungan RM192,623 berbanding RM176,000 pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan keuntungan ini akan membolehkan pelabur menerima dividen sebanyak 10 peratus yang dijangka dibayar dalam bulan Ramadan ini,” kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1982, Kopmaju semakin berkembang maju dengan keahlian mencecah seramai 3,874 orang.

“Kita sudah mempunyai bangunan sendiri dengan kos RM510,000 di Jalan Bakawali, Bakri yang bersebelahan laluan utama iaitu Jalan Bakri.

“Tingkas atas bangunan tersebut dijadikan pejabat Kopmaju termasuk bilik mesyuarat manakala tingkat bawah bakal dijadikan premis perniagaan,” katanya.

Sebelum ini Kopmaju menumpang di bangunan lama milik Risda di Jalan Abdul Rahman, sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Sementara itu, Pengurus Besar Kopmaju, Abd Rahman Abd Talib berkata, koperasi berkenaan juga mempunyai lapan stesen pusat timbang dan pusat pemasaran di daerah ini dan Ledang.

“Pusat timbang tersebut dibuka di kawasan berhampiran ladang dan kebun bagi memudahkan petani memasarkan hasil komoditi masing-masing tanpa perlu keluar ke pekan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 18 JULAI 2013